Suspek tembak pengawal keselamatan guna pistol anggota polis mati dibunuh

0
55
Seorang pengawal keselamatan mati ditembak semalam

SHAH ALAM – Polis mengesahkan pistol yang digunakan dalam kejadian rompakan bersenjata di hadapan sebuah bank di Puchong Prima, Puchong semalam merupakan senjata api dilarikan suspek daripada seorang anggota polis yang dibunuh lima tahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam kejadian pada 31 Ogos 2017, mendiang Lans Koperal Valentino Mesa ditemui mati dengan kesan tetakan dan tembakan di sebuah balai polis komuniti di Subang Jaya dan senjata api miliknya dilaporkan hilang.

Menurutnya, pistol semi automatik jenis Walther P99 berkenaan dipercayai digunakan dalam rompakan pada Jumaat dan enam kes samun bersenjata lain dilakukan suspek sama.

“Kejadian di Puchong Prima berlaku ketika pengawal syarikat keselamatan dalam proses memindahkan wang tunai berjumlah RM1.31 juta dari bank ke dalam van keselamatan.

“Suspek yang melakukan perbuatan itu secara ‘lone ranger’ tiba-tiba muncul dan melepaskan tiga das tembakan.

“Tindakan suspek menyebabkan seorang pengawal keselamatan yang berada di dalam van terbunuh manakala seorang lagi pengawal bersenjata yang menunggu di luar kenderaan itu cedera,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Polis sebelum ini berjaya memberkas seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian rompakan mengakibatkan seorang pengawal keselamatan maut manakala seorang lagi cedera berhampiran sebuah bank di Puchong Prima semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan pemandu van keselamatan memecut laju meninggalkan lokasi kejadian menemui kegagalan apabila suspek dapat memintas kenderaan itu dan merampas wang tunai berjumlah RM500,000.

Arjunaidi berkata, hasil maklumat daripada orang awam sepasukan polis berjaya menahan suspek di sekitar Seksyen 20di sini ketika suspek cuba untuk mendepositkan wang tunai dilarikan ke dalam sebuah bank.

“Dalam kejadian ini kita telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada orang awam yang telah memberi maklumat begitu terperinci berkaitan kejadian dan suspek berkenaan, bagi saya dia hero sebenar kejadian ini,” katanya.

Katanya, pihak polis merampas wang tunai berjumlah RM350,000 daripada suspek, sepucuk pistol Walther P99, 10 butir peluru, dua kelopak peluru, sarung tangan, kasut, cermin mata taktikal dan sehelai jaket.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1.16 juta dari van pengawal keselamatan dan RM 531,000 dari sebuah bank untuk siasatan,” katanya.

Katanya, suspek direman tujuh hari bermula Sabtu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here