Tekong terbaik STL Emas Anuar genggam ijazah selepas 6 tahun

0
2733
Meor Zulfikar (kiri) bersama rakannya meraikan kejayaan selepas berakhir Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45 hari ini

SERDANG – Pemain baharu pasukan Putrajaya Cyborg, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Komunikasi selepas berhempas pulas mengikuti pengajian selama enam tahun.

Atlet berusia 26 tahun itu menerima ijazah pada Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45 yang disampaikan Tuanku Canselor UPM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di sini hari ini.

Menceritakan pengalamannya sepanjang bergelar pelajar, Meor Zulfikar berkata, dia mengucapkan berterima kasih kepada UPM yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya sehingga membolehkannya menamatkan pengajian walaupun mengambil masa yang lama berbanding kebiasaan iaitu tiga tahun.

“Saya memulakan pengajian pada 2016, namun menangguhkan pengajian pada 2017 kerana mewakili negara di sukan SEA.

“Bergelar atlet dan pelajar dalam masa sama memang mencabar tetapi saya perlu bijak untuk membahagikan masa antara sukan dan akademik,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Mengulas lanjut Meor Zulfikar yang juga tekong terbaik STL Emas Anuar berkata, namun begitu dia telah dilatih sejak zaman sekolah untuk membahagikan masa antara keduanya.

Meor Zulfikar berkata, walaupun berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran untuk menamatkan pengajian, dia tidak mengalah dan terus berusaha sehingga berada ke tahap sekarang.

Katanya, dia selalu menjadikan kejayaan dua pemain sepak takraw iaitu Suhairi Sulaiman dan Kamal Ishak yang berjaya dalam bidang akademik sebagai sumber inspirasi.

Selain itu, katanya, dia juga mendedikasikan anugerah ijazah itu buat kedua ibu bapa yang tidak pernah berputus asa dan sentiasa memberi sokongan kepadanya sejak kecil hingga sekarang.

Meor Zulfikar

Berkongsi perancangan masa hadapan, katanya, dia akan tetap meneruskan karier dalam sepak takraw dan berazam untuk menghadiahkan pingat emas untuk negara dalam temasya besar seperti Sukan SEA dan Asia.

Pada masa sama, Meor Zulfikar yang kini berkhidmat di Perbadanan Menteri Besar Perak, menyimpan cita-cita untuk menjadi pegawai tinggi dalam kerajaan sekali gus dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Sementara itu, ditanya mengenai persediaan untuk mengharungi kejohanan Champion Cup STL, Meor Zulfikar, dia dan pasukan Putrajaya Cyborg telah bersedia untuk memberikan aksi terbaik menjelang perlawanan pertama menentang Penang Black Phanters malam ini.

“Selepas ini saya akan terus bertolak ke Johor Bahru untuk beraksi bersama Putrajaya Cyborg pada pukul 10 malam ini.

“Kepada semua penyokong Putrajaya Cyborg jangan lupa memberikan sokongan kepada saya dalam penampilan pertama bersama pasukan ini,” ujarnya yang beraksi di posisi tekong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here