
KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz menafikan dakwaan bahawa kerajaan belum membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tengku Zafrul berkata, sehingga kini Malaysia sudah mula membayar faedah daripada hutang itu.
“Setakat akhir bulan ini, kalau kita lihat andaian pertukaran wang asing AS$1 bersamaan dengan RM4.20 sen dan baki komitmen pula antara RM38.5 bilion hingga RM38.8 bilion.
“Ini merupakan prinsipalnya iaitu antara RM32 bilion hingga RM33 bilion manakala faedah RM6.5 bilion.
“Maka dakwaan kita belum bayar hutang 1MDB adalah tidak berasas, memandangkan prinsipal hutang-hutang tersebut hanya akan matang lambat lagi,” jelasnya menjawab persoalan daripada Lim Guan Eng [Bagan-PH] di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu Tengku Zafrul berkata, tarikh matang untuk hutang RM32.3 bilion iaitu hutang 1MDB adalah antara tahun 2022 hingga 2039.
“Itu adalah amoun yang belum lagi dibayar tapi kita sudah mula bayar faedahnya,” katanya.
Semalam Ahli Parlimen Pekan yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razal dalam perbahasannya di Dewan Rakyat berkata sehingga kini kerajaan masih belum membayar prinsipal 1MDB.
Najib berkata, pada 2018 hutang syarikat konroversi itu RM32 bilion dan sehingga kini hutangnya masih RM32 bilion.