
CYBERJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak mengesan kehadiran asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam sampel gegelung sotong sejuk beku yang menjadi tular baru-baru ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, siasatan itu dilaksanakan berikutan terdapat dakwaan bahawa gegelung sotong sejuk beku yang dijual di pasaran sebenarnya rektum babi.
Katanya, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas beberapa premis di peringkat peruncit, pemborong, pengedar dan pengimport produk terbabit di sekitar Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor serta Johor Bharu.
“Hasil pemeriksaan dan siasatan yang telah dijalankan, beberapa produk ditemukan dan pihak KPDNHEP telah mengambil tindakan dengan menyita kesemua produk terbabit bersama beberapa dokumen perniagaan lain untuk siasatan lanjut.
“Sampel-sampel daripada produk terbabit telah dihantar kepada Jabatan Kimia untuk tujuan mengenal pasti sama ada produk terbabit mengandungi DNA babi atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Alexander, keputusan yang diterima daripada Jabatan Kimia telah mengesahkan bahawa tiada DNA babi dikesan di dalam sampel terbabit.
“Pihak KPDNHEP ingin menasihati pengguna agar berhati-hati di dalam menyebarkan maklumat-maklumat terutama dalam media sosial termasuklah isu berkaitan halal kerana ia boleh mendatangkan kegusaran kepada orang ramai,” katanya.