
CYBERJAYA – Bermula hari ini status risiko mereka yang menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 akan kekal seperti sedia kala tanpa bertukar kepada warna kuning.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kontak rapat berkenaan hanya akan menerima notifikasi berbanding kaedah lama.
“Sebelum ini dalam pengesanan menerusi MySejahtera, jika individu berkenaan menjadi kontak rapat kepada kes positif, status dalam aplikasi berkenaan akan bertukar kepada kontak kasual (kuning).
“Bermula hari ini, status risiko berkenaan tidak akan berubah lagi. Individu berkenaan akan menerima notifikasi sahaja. Jika mempunyai simptom mereka dinasihatkan untuk mengasingkan diri dan membuat ujian,” katanya dalam satu ciapan menerusi Twitter miliknya hari ini.
Minggu lalu Khairy mengumumkan pemansuhan protokol isolasi kontak rapat yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada minggu ini.
Langkah itu selari dengan protokol yang dilaksanakan terhadap petugas kesihatan KKM yang mana petugas kesihatan yang menjadi kontak rapat dan tidak bergejala tidak perlu menjalani isolasi sebaliknya hanya perlu buat ujian kendiri Covid-19 pada hari tertentu.