
CYBERJAYA – Nasib bekas pekerja Utusan Melayu (Malaysia) Bhd. yang ditamatkan perkhidmatan selepas penggulungan syarikat itu pada 7 Okt 2019 umpama tiada penghujung apabila dimaklumkan tiada bayaran pampasan buat mereka.
Menurut sumber, perkara itu dimaklumkan oleh syarikat yang bertindak sebagai pelikuidasi syarikat itu, UHY Advisory (KL) Sdn Bhd dalam satu mesyuarat secara maya, hari ini.
Kata sumber, dalam mesyuarat itu, UHY memaklumkan bahawa tiada bayaran pampasan kepada bekas pekerja yang dimasukkan ke dalam senarai pemiutang bercagar oleh mereka.
“Bekas-bekas pekerja amat berharap supaya UHY dapat memberikan budi bicara yang sewajarnya dalam hal ini.
“Perkara ini hanya akan dapat diselesaikan menerusi Rundingan Damai sahaja,” kata sumber itu lagi.
Bagaimanapun, tambahnya, setakat ini pihak UHY enggan berunding dan sebaliknya melengahkan proses tersebut dengan merujuk kepada mahkamah.
Perkara itu turut disahkan oleh bekas pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Semenanjung Malaysia Peringkat Cawangan Utusan Melayu Bhd, Mohd Taufek Razak menerusi satu kenyataan akhbar, siang tadi.
Katanya, NUJ telah memeterai satu perjanjian kolektif bersama dengan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd. pada 3 November 2011, yang antara lain manfaat-manfaat boleh dinikmati oleh ahli kesatuan adalah sebagaimana yang terkandung di dalam Perjanjian Kolektif (CA) tersebut termasuklah manfaat penamatan.
“Rata-rata perkembangan ini amat mengecewakan bekas pekerja dan ahli-ahli kesatuan yang telah mencurahkan bakti dan khidmat selama puluhan tahun demi melihat wadah yang telah menjadi penyampai maklumat kepada segenap lapisan masyarakat semenjak sebelum merdeka lagi terus kekal unggul.
“Namun kini, tiada kelihatan mana-mana pihak yang benar-benar ingin membela nasib bekas pekerja Utusan.
“Kami tidak akan berdiam diri dan berharap rintihan ini, akan didengar oleh segenap lapisan masyarakat termasuk pemimpin-pemimpin tanah air,” tegas Mohd Taufek.