
CYBERJAYA – Ketidakhadiran murid ke sekolah sebaik penggal baharu persekolahan dibuka bermula 21 Mac ini tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin.
Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), namun begitu, ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran murid kepada pihak sekolah.
“Sekiranya ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah, ketidakhadiran tersebut tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin.
“Namun, ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran murid kepada pihak sekolah bagi tujuan rekod,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, murid sekolah dibenarkan memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan jika pakaian seragam sekolah sedia ada tidak lagi sesuai dipakai.
Bagaimanapun, katanya, murid digalakkan untuk memakai pakaian seragam sekolah.
Sementara itu, katanya, KPM juga telah menetapkan agar pelaksanaan ujian saringan Covid-19 bagi murid sekolah rendah bawah Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilakukan secara kendiri oleh murid di rumah.
Katanya, pihak sekolah akan mengenal pasti murid yang terlibat dan mengedarkan kit ujian kendiri berserta Slip Pengesahan Pelaksanaan Ujian Kendiri Covid-19 untuk dibawa pulang oleh murid.
Menurutnya, keputusan ujian saringan perlu dilaporkan kepada pihak sekolah mengikut garis panduan yang ditetapkan.