‘Transformasi’ produk Turkiye di Malakat Grocer

0
39
Mohd. Fadzil Hashim

CYBERJAYA – Kumpulan Malakat Mall melalui Malakat Grocer akan menggantikan produk-produk luar negara yang dijual di pasar raya itu dengan produk dari Turkiye.

Presiden Kumpulan Malakat Eco, Mohd. Fadzil Hashim berkata, melalui program yang dinamakan Turkiye Best, pihaknya mensasarkan kira-kira 80 peratus produk yang sebelum ini diimport digantikan dengan produk Turkiye.

Katanya, usaha itu akan dijayakan melalui jalinan kerjasama perniagaan antara pihaknya dengan pengeluar dan pengedar produk di negara Eropah itu hasil daripada lawatan perniagaannya selama lebih 4 bulan baru-baru ini.

“Ini antara projek besar yang bakal berlaku. Transformasinya adalah semua produk luar negara di pasar raya kami akan ditukarkan dengan produk dari Turkiye.

“Buat masa ini kami sudah ada dalam 200 jenis produk (SKU) yang akan ditambah dari semasa ke semasa. Mungkin jadi 500 SKU.

“Produk-produk ini akan menjadi pengganti kepada jenama-jenama dari luar negara yang bukan keluaran bumiputera,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune hari ini.

Sebagai jaminan kepada pelanggan katanya, kesemua produk yang dibawa masuk itu akan dijamin dari segi status halal, kualiti dan harga.

Dalam jangka masa panjang katanya, usaha itu diharap akan memberi anjakan perniagaan yang akan memperkasakan eko sistem Islam yang telah dimulakan Malakat Eco.

Selain itu, Mohd Fadzil turut mengumumkan peluang kepada orang ramai untuk menambah pendapatan dengan cara berbelanja dan memperkenalkan pelanggan baharu kepada Malakat Eco.

“Sebelum ini kami sudah lancarkan program Pindah Belanja yang memfokuskan kepada perjuangan Malakat Eco sahaja.

“Tapi kali ini kita memberi insentif kepada pelanggan yang berbelanja dan memperkenalkan pelanggan baharu melalui pautan khas yang akan diperkenalkan,” katanya.

Ditanya mengenai peluang untuk usahawan tempatan meluaskan pasaran ke Turkiye, beliau memaklumkan usaha itu akan dimulakan dengan produk-produk di Malakat Grocer.

Pada masa ini katanya, pihaknya sedang dalam usaha mewujudkan ‘gerbang’ untuk membawa produk-produk yang bernilai tinggi ke pasaran Turkiye.

“Kita ada banyak produk yang baik, misalnya di Istanbul tidak ada sos cili atau kicap dijual. Walaupun orang di sana mungkin tidak makan tapi di sana ada lebih 7 juta pekerja warga asing./ Itu tidak termasuk 40 juta pelancong.

“Pengedar dan peruncit di sana sudah lama menantikan produk-produk kita, Insyallah kita akan mulakan dengan produk yang sedia ada di Malakat Grocer,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here