
KIEV – Pihak perisikan Ukraine mendakwa tentera mereka berjaya membunuh seorang jeneral Rusia baru-baru ini.
Kata The Guardian, Mejar Jeneral Vitaly Gerasimov dari Batalion ke-41 dilaporkan terbunuh bersama-sama beberapa lagi anggota kanan pasukannya dalam pertempuran di luar bandar Kharkiv.
Jika dakwaan itu benar, kematian Jeneral Gerasimov merupakan kematian kedua melibatkan pimpinan tertinggi batalion tersebut.
Minggu lepas, Rusia mengesahkan timbalan komander batalion berkenaan, Major Jeneral Andrei Sikhovetsky terbunuh dalam satu pertempuran.
Sementara itu, Kementerian Luar Negara Ukraine mendakwa, sebanyak 12,000 tentera Rusia telah terkorban pada hari ke-13 konflik berkenaan.
“Setakat ini, pihak kami berjaya memusnahkan 48 buah pesawat terbang, 80 buah helikopter, 303 kereta kebal, 120 meriam dan 27 sistem pertahanan udara milik Rusia,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.