
CYBERJAYA – Bermula esok, Kementerian Kesihatan akan mula menawarkan vaksin Corona Vac atau Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terpilih.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ibu bapa boleh menyemak senarai nama serta waktu operasi PPV yang menawarkan Corona Vac secara walk-in di laman web Kementerian Kesihatan (KKM) dan PHCorp yang telah diumumkan sebelum ini.
“Selain itu, ibu bapa yang mendaftarkan anak dalam aplikasi mySejahtera pula akan menerima pautan kepada tempahan janjitemu vaksinasi anak anak mereka.
“Sukacita dimaklumkan penawaran vaksin CoronaVac di PPV yang dikendalikan oleh KKM dan PHCorp dibawah PICKids adalah percuma. Selain daripada program PICKids, terdapat juga klinik dan hospital swasta yang menawarkan vaksin CoronaVac kepada kanak-kanak lima hingga 11 tahun dengan bayaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, vaksin CoronaVac hanya boleh diberi apabila kanak-kanak mencapai usia lima tahun pada tarikh lahir.
Katanya, bagi mendapatkan status vaksinasi lengkap, dua dos vaksin CoronaVac dengan selang masa empat minggu perlu diberikan kepada kanak-kanak berumur 5-11 tahun.
“Sehubungan dengan itu, kanak-kanak yang tidak boleh menerima vaksin Comirnaty atas sebab kesihatan akan ditawarkan vaksin CoronaVac oleh petugas kesihatan.
“Selain itu, ibu bapa juga diberi pilihan untuk memberikan vaksin Corona Vac kepada anak mereka sekiranya mereka tidak bersetuju untuk menggunakan vaksin Comirnaty.
“Sekiranya terdapat pertanyaan, ibubapa dialu-alukan untuk mendapatkan penjelasan dengan lebih lanjut daripada petugas kesihatan yang bertugas,” katanya.
Pada 3 Mac lalu, Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah yang ke 370 telah memberi kelulusan bersyarat penggunaan Corona Vac Suspension for Injection Covid-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated keluaran Sinovac Life Sciences Co. Ltd., China dan Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd., Malaysia untuk kanak-kanak 5 hingga 11 tahun.
Langkah itu menjadikan CoronaVac sebagai vaksin kedua yang diluluskan penggunaannya untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11.