Wangsa Maju kawasan parlimen berkepadatan penduduk tertinggi

0
54
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Parlimen Wangsa Maju (P116) di Kuala Lumpur direkodkan sebagai kawasan parlimen dengan kepadatan penduduk tertinggi iaitu 13,475 orang bagi setiap kilometer persegi.

Berdasarkan Statistik Subnasional Parlimen yang meliputi statistik sosioekonomi dan alam sekitar di 222 kawasan parlimen, kawasan kedua dengan kepadatan tertinggi ialah Jelutong (P050) iaitu 11,373 orang, diikuti Pandan (P100) 11,371 orang bagi setiap kilometer persegi.

Menurut statistik terbitan Jabatan Perangkaan (DOSM) itu lagi, Parlimen Bangi (P102) mencatatkan bilangan isi rumah dan tempat kediaman tertinggi iaitu masing-masing 182,471 orang dan 201,487 tempat kediaman.

Parlimen Baram (P220) dan Hulu Rajang (P216) pula menurut statistik itu, mempunyai fasiliti klinik kesihatan kerajaan yang tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 25 dan 14 buah, dan Parlimen Baram juga mempunyai bilangan sekolah tertinggi iaitu 78 sekolah rendah dan lapan sekolah menengah.

DOSM dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, Statistik Subnasional Parlimen itu adalah untuk memudahkan dan meningkatkan penggunaan data dalam kalangan Ahli Parlimen.

“Penerbitan ini dapat menambah baik tadbir urus kawasan, dan menyediakan keperluan sosioekonomi secara lebih bersasar untuk kesejahteraan rakyat,” kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan itu.

Statistik Subnasional Parlimen yang julung kali diterbitkan itu mengandungi indikator seperti maklumat asas; penduduk; perumahan; guna tenaga; pendapatan isi rumah; pendidikan; kesihatan; kemiskinan; keselamatan awam; internet dan media sosial; kemudahan asas dan alam sekitar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here