Waris mangsa terkorban tanah runtuh terima bantuan RM10,000

0
11
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meninjau keadaan insiden tanah runtuh yang mengorbankan 4 individu semalam di Taman Bukit Permai 2, Ampang hari ini.

AMPANG – Kerajaan Negeri Selangor akan memperuntukkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada waris empat mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selain bantuan itu pihaknya juga sedang mempertimbangkan bantuan kepada pemilik kediaman yang rosak dalam kejadian itu.

“Kerajaan negeri akan memberikan sumbangan RM10,000 kepada waris mangsa manakala bantuan untuk rumah-rumah yang terlibat akan diputuskan kemudian.

“Jika diikutkan format biasa bantuan sebelum ini, ianya dalam sekitar RM500 tapi saya akan tengok semula keperluan tambahan.

“Tumpuan utama pada masa kini adalah untuk memastikan keadaan di lokasi selamat,” katanya pada sidang media di Taman Bukit Permai 2, di sini pagi ini.

Dalam kejadian 5.54 petang semalam, empat terkorban dalam kejadian tanah runtuh yang menimbus dua buah rumah dan merosakkan 15 rumah lain di Taman Bukit Permai di sini.

Sementara itu, Amirudin mengisytiharkan kawasan berkenaan sebagai kawasan bencana supaya tindakan selanjutnya dapat dilaksanakan oleh pihak polis untuk mengelak sebarang kemungkinan pergerakan tanah berlaku.

“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan kajian dalam tempoh dua atau tiga hari ini untuk mengenal pasti tahap keselamatan kawasan.

“Ini akan melibatkan 12 rumah di setiap empat lorong yang terletak paling hampir dengan runtuhan,” katanya yang mengesahkan proses evakuasi penduduk selesai dilakukan pada pukul 1.52 pagi tadi

Katanya, berdasarkan pemantauan awal yang dilakukan, kediaman selepas rumah ke-12 didapati masih selamat untuk didiami dan proses pembersihan runtuhan akan dilakukan segera.

“Jika ada perkembangan lain kita akan umumkan dari masa ke semasa,” katanya.

Sehubungan itu juga katanya, pihak Majlis Perbandangan Ampang Jaya (MPAJ) akan membuat penutupan sementara untuk mengelak keadaan di lokasi bertambah buruk ekoran hujan dan sebagainya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here