Will Smith buat permohonan maaf

0
43
Visual Smith menampar Rock dipancarkan ke seluruh dunia semalam.

NEW YORK – Aktor Will Smith membuat satu permohonan maaf kerana menampar hos Anugerah Academy Awards 2022, Chris Rock semalam.

Menurut portal CNN, Smith memuat naik kenyataan memohon maaf tersebut di laman Instagram miliknya, lewat malam tadi.

Beliau turut menyatakan, tindakannya “tidak boleh diterima dan tidak boleh dimaafkan”.

“Gurauan mengenai saya merupakan sebahagian daripada kesan kerjaya saya, namun gurauan mengenai keadaan kesihatan Jada adalah agak berat untuk diterima dan membuatkan saya beremosi.

“Saya ingin memohon secara terbuka kepada kamu Chris. Saya agak melampau dan saya bersalah.

“Saya sudah memalukan diri saya sendiri dan tindakan itu bukanlah sesuatu yang ingin saya lakukan. Tiada tempat bagi keganasan dalam dunia penuh kasih sayang dan kebaikan,” kata Smith dalam kenyataan itu.

“Keganasan dalam apa jua bentuk adalah beracun dan memusnahkan,” katanya lagi.

Semalam, Smith menampar Rock setelah hos tersebut membuat satu gurauan mengenai keadaan kesihatan isterinya, Jada Pinkett Smith.

Smith turut memohon maaf kepada anggota Academy dan keluarga bintang tenis Venus dan Serena Williams di atas kejadian tersebut.

“Saya turut ingin memohon maaf kepada semua di atas perbuatan saya itu,” kata Smith yang memenangi Anugerah Aktor Terbaik Academy menerusi filem biopik King Richard.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here