Zul Ariffin disiasat

0
42
Annuar Musa

CYBERJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menyiasat pelakon popular Zul Ariffin selepas pengkongsian adegan tidak senonoh di akaun media sosialnya pada Jumaat lalu.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelakon berusia 35 tahun itu akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata, tindakan terhadap pelakon itu akan diputuskan selepas proses undang-undang yang sedang berjalan selesai.

“Pelakon Zul Ariffin akan di siasat di bawah Seksyen 233 Akta KMM kerana posting YouTube yg menyalahi undang undang.

“Yang pasti adegan seperti yang dipapar itu tidak akan dibenarkan tayang, sama ada bulan Ramadhan atau bulan yang lain. Jagalah nilai dan budaya,” katanya dalam hantaran di Twitternya hari ini.

Tangkap layar kenyataan Annuar Musa di Twitternya hari ini.

Zul Ariffin baru-baru ini berkongsi adegan ranjang di akaun Instagramnya yang merupakan sebahagian daripada babak drama ‘Perempuan Itu’ yang dijadual ditayangkan kepada umum menjelang Ramadan ini.

Selepas menerima kecaman di media sosial, Zul Ariffin memadam hantaran tersebut dan semalam tampil membuat permohonan maaf.

KKM sebelum ini mengumumkan drama arahan Erma Fatima itu mungkin tidak akan dibenarkan ditayang sekiranya tiada jawapan bertulis diterima daripada pihak produksi drama berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here