12 warga Malaysia mangsa sindiket di Kemboja dibawa pulang

0
18
Sebahagian daripada 16 warga Malaysia selamat tiba dari Kemboja di KLIA2, Sepang selepas setahun ditahan pihak berkuasa negara itu kerana terlibat dalam aktiviti perjudian haram dan penipuan online.

SEPANG – Seramai 12 daripada 16 rakyat Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa Kemboja kerana terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang tiba ke tanah air hari ini.

Kesemua mereka dipercayai menjadi mangsa yang diperdaya sindiket perjudian di negara berkenaan dengan ganjaran gaji lumayan.

Ketibaan mereka di KLIA2 pada pukul 8.10 pagi diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Kesemua mereka kemudian diambil keterangan oleh pihak polis kecuali tiga lelaki dan seorang wanita yang disahkan positif Covid-19 sejak semalam dan dikuarantin selama tujuh hari hingga Ahad di Phnom Penh.

Amran berkata, Kementerian Luar melalui Kedutaan Malaysia di negara itu bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar Kemboja dan pihak keselamatan negara terbabit untuk membawa pulang kumpulan rakyat Malaysia berkenaan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut bekerjasama dengan polis Kemboja melalui ASEANAPOL dan ini adalah bentuk kerjasama yang semakin meningkat dengan negara berkenaan dalam menentukan kebajikan rakyat Malaysia yang terkandas dibawa pulang,” katanya.

Mereka yang terkandas sejak tahun lalu itu dikatakan dikurung dan dipaksa bekerja dengan sindiket judi dalam talian dan scammer selain pasport mereka dirampas.

Mereka juga pernah menghubungi Biro Pengaduan MCA sejak Januari lalu bagi mendapatkan bantuan.

Amran berkata, walaupun Kerajaan Kemboja mendapati mereka terbabit dalam aktiviti menyalahi undang-undang, buat masa ini ia diketepikan bagi membolehkan mereka dibawa pulang.

Empat lagi individu yang dikuarantin akan dibawa pulang selepas selesai tempoh isolasi dengan kerjasama Kerajaan Kemboja, Kedutaan Malaysia di Kemboja dan PDRM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here