528 PATI Rohingya pecahkan pintu blok, gril penghadang untuk larikan diri

0
52
Tangkap layar video sebahagian PATI yang melarikan diri awal pagi tadi

CYBERJAYA – Seramai 362 orang tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang awal pagi tadi telah berjaya ditangkap semula.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua tahanan itu antara 528 etnik Rohingya yang melarikan diri dalam kejadian pukul 4.30 pagi tadi.

“Mereka melarikan diri setelah memecahkan pintu blok dan gril penghadang. Pegawai-pegawai bertugas telah mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) dengan menghubungi polis dan agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan.

“Gerakan mencari dan menangkap tahanan yang lari sedang giat dijalankan dengan kerjasama dari polis, Rela dan orang ramai.

“Sehingga jam 10 pagi ini seramai 362 orang tahanan telah berjaya ditangkap semula. Gerakan mencari baki tahanan yang lain sedang diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang keberadaan tahanan yang lari itu dipohon supaya memaklumkan kepada pihak imigresen atau polis.

Terdahulu tular beberapa video menunjukkan sekumpulan warga asing melarikan diri dari depoh tahanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here