5G: Keputusan tepat kerajaan kekalkan model SWN, elak Malaysia terima nasib seperti Filipina

0
141
Prof Dr Azmi Hassan

SEPERTI sedia maklum, keputusan Kabinet pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah mengekalkan konsep model Single Wholesale Network  (SWN) adalah satu keputusan yang bijak dan tepat.

Hal ini disebabkan sekirannya kerajaan ‘flip-flop’ dalam membuat keputusan maka syarikat pesaing Ericson semestinya akan mengambil peranan tersebut.

Adakah kita masih ingat hasrat dua beradik mahu menyambut Ramadan bersama adik perempuan mereka di Dusseldorf, Jerman bertukar menjadi mimpi ngeri. Mereka dilayan seperti penjenayah dan diusir keluar dari negara tersebut.

Hal ini disebabkan vaksin Coronavac keluaran firma Sinovac Biotech dari China tidak diterima pihak berkuasa Jerman walaupun telah lengkap menerima suntikan sepenuhnya. Dalam hal vaksin jua, prejudis amat menebal sekali dan ini berkemungkinan ada kaitan dengan geopolitik antarabangsa.

Dalam isu teknologi 5G pula, dilaporkan banyak negara di Eropah sedang menyekat dan melarang pengunaan Huawei di negara mereka atas alasan sekuriti.

Negara seperti Australia, New Zealand, Jepun, Taiwan, Amerika Syarikat dan banyak lagi negara Eropah merupakan antara negara yang menyekat penggunaan teknologi berkait Huawei dalam negara mereka.

Walaubagaimanapun, Filipina memilih Huawei sebagai pembekal utama dalam industri 5G mereka. Oleh demikian, beberapa kontroversi didakwa berlarutan akibat lantikan syarikat gergasi China sebagai peneraju rangkaian dan infrastruktur 5G.

Satu laporan khas telah dikeluarkan Asia Pacific Foundation of Canada yang bertajuk 5G Geopolitics and The Philippines: The H Controversy menekankan tiga implikasi bakal dihadapi Filipina, dan telahan tersebut tepat berdasarkan berita-berita terkini dari Timur Malaysia.

Pertama, ia meletakkan hubungan ketenteraan Filipina dengan Amerika Syarikat di dalam zon pemerhatian disebabkan isu keselamatan siber yang jelas mendapat perhatian blok barat tersebut.

Kedua, iklim politik Filipina dijangka berubah angin hanya disebabkan kontroversi politik dalam penglibatan China untuk teknologi 5G, yang akan menjejaskan pemilihan Presiden.

Ketiga, implikasi pelaburan asing turut menjadi taruhan setelah pemilihan Huawei di Filipina. Disebabkan ‘Perang Perdagangan’ yang berlaku di antara China dan Amerika Syarikat, syarikat multinasional barat menjadi semakin berhati-hati terhadap agensi syarikat berkait China dalam rakan pilihan dagang mereka.

Bermaksud, dijangka lebih banyak syarikat barat yang akan membuat kekangan pengehadan dan pengecualian dari melabur di Filipina. Maka Indonesia juga berpotensi menghadapi perkara yang serupa.

Pelabur terpaksa mengimbangi kepentingan dan menarik diri dari melibatkan perniagaan mereka dengan syarikat berkait China.

Kini, tuah sedang berpihak kepada Malaysia, setelah Ericson dikekalkan sebagai pembangun dalam projek 5G di negara kita, syarikat utama dalam penggiat industri 5G dunia telah mengintai destinasi Malaysia untuk dijadikan Hub 5G Asia.

Selari dengan  laporan AsiaTimes pada Julai 2021 menyatakan bahawa pemilihan Ericsson untuk meneroka generasi internet baharu di Malaysia adalah satu perkara yang diraikan oleh blok barat.

Kesan Ekonomi Hub 5G

Pakar ekonomi menjangkakan sebanyak RM70 bilion pelaburan asing akan sampai ke negara apabila 5G dimuktamadkan pada 2025. Kerjasama dengan Ericsson yang datang dari negara Eropah akan meningkatkan pelbagai jenis pelaburan ke negara Malaysia di peringkat antarabangsa.

Tambahan pula, ekonomi digital dijangka menyumbang sejumlah 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2025. Menurut kajian EY baru-baru ini mengenai potensi impak ekonomi 5G, sebanyak RM650 bilion peningkatan KDNK kumulatif dapat dilihat dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan RM150 bilion pada tahun 2031 sahaja.

Lebih kurang 750,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi baru akan dicipta menjelang 2030, dan akan menjadi satu kelebihan buat Malaysia berbanding negara-negara jiran.

Dalam industri kesihatan misalnya, menjanjikan pulangan lumayan sehingga AS$530 bilion melalui Penjagaan Kesihatan Berkuasa 5G menjelang 2030.

Hospital akan dilengkapkan dengan peralatan 5G yang mengupayakan pemantauan pesakit dari jarak jauh. Ambulans juga akan boleh berkomunikasi dengan doktor di hospital pada waktu kecemasan. Malah, pengangkutan kelengkapan perubatan dan terapi juga akan boleh diuruskan melalui pengangkutan udara dron, berbanding logistik darat yang memakan masa lebih lama.

Manakala dalam bidang urbanisasi moden, pembangunan bandar pintar yang ditenagakan oleh spektrum 5G akan mereformasi tata bermasyarakat daripada pengangkutan tanpa pemandu pandu hingga ke petani-petani kecil yang akan didedahkan dengan kaedah pertanian teknologi terkini moden.

Bidang perubatan, pengangkutan dan perbandaran adalah sektor utama yang menjadi sasaran dalam industri 5G. Tidak mustahil, Malaysia dapat menguasai industri 5G di dunia. Malah, rakyat amat berharap misi hub 5G ini dapat direalisasikan oleh melalui landasan Digital Nasional Berhad.

Oleh: Prof Dr Azmi Hassan,
Geostrategis dan Felo Kanan
Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara NASR

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Malakat Tribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here