Anggota Maritim Malaysia cedera diserang nelayan asing

0
32

CYBERJAYA – Dua anggota Maritim Malaysia tercedera dalam insiden pencegahan aktiviti nelayan asing di perairan Kelantan, kelmarin.

Menurut Maritim Malaysia dalam satu kenyataan, anggotanya yang sedang melaksanakan Op Khas Naga Barat, Op Khas Kuda Laut dan Op Damai di perairan tersebut, berjaya mengesan kehadiran sebuah bot nelayan yang mencurigakan pada jarak tiga batu nautika.

Tangan salah seorang anggota Maritim Malaysia yang tercedera.

“Menyedari kehadiran bot penguat kuasa, bot yang mencurigakan itu bertindak melarikan diri daripada ditahan.

“Setelah dikejar rapat dan diarahkan berhenti namun bot tersebut terus berdegil, anggota penguat kuasa terpaksa menggunakan ‘force boarding’ bagi memastikan bot berjaya dihentikan,” kata Maritim Malaysia.

Kumpulan nelayan asing warga Vietnam yang berjaya ditahan.

Anggota geledah yang kemudiannya menerpa ke arah rumah kemudi bot berkenaan diacukan pisau oleh individu dipercayai tekong bot tersebut.

“Berlaku pergelutan yang menyebabkan kecederaan di bahagian tapak tangan kiri dan ibu jari kanan anggota yang berusia 32 tahun, manakala seorang lagi anggota geledah cedera pada ibu jari kanan disebabkan bergelut dengan kru bot nelayan yang lain,” kata kenyataan itu lagi.

Walaupun mengalami kecederaan, anggota geledah tersebut berjaya mempertahankan diri dan tindakan agresif kru bot berjaya ditangani.

Pemeriksaan mendapati, bot berkenaan dikendalikan 20 kru termasuk tekong warga Vietnam, berusia dalam lingkungan 20 hingga 48 tahun dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri.

“Tangkapan ini melibatkan rampasan sebuah bot, peralatan menangkap ikan, ikan lebih kurang 500 kilogram dan bekalan diesel lebih kurang 500 liter dengan anggaran nilai RM1.5 juta, seterusnya diiring masuk ke Jeti Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan,” kata kenyataan itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here