Bantuan Kasih Bangsa Johor terima peruntukan RM144 juta untuk hampir 4 juta penduduk

0
101
Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU – Sebanyak RM144.36 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Johor menerusi Bantuan Kasih Bangsa Johor yang bakal memberi manfaat kepada 3.69 juta penduduk negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan itu akan disalurkan melalui 28 inisiatif yang dibahagikan kepada lima kategori utama iaitu Kemasyarakatan, Kebajikan, Orang Muda Johor, Pendidikan dan Ekonomi.

“Saya bersama barisan Exco Negeri Johor baru sahaja selesai mengumumkan insentif khas Kerajaan Negeri Johor, iaitu Bantuan Kasih Bangsa Johor.

“Saya faham kita kini sedang menyesuaikan diri dengan norma baharu tetapi dalam masa sama, masih ramai lagi rakyat yang memerlukan bantuan serta sokongan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata, insentif itu juga adalah sebagai penghargaan dan kasih kerajaan negeri kepada semua rakyat Johor khususnya selepas hampir dua tahun rakyat berdepan dengan wabak Covid-19.

“Saya berharap agar insentif Bantuan Kasih Bangsa Johor dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat Johor. Bersama kita bangunkan negeri Johor yang kita cintai ini.

“Terima kasih juga kepada seluruh Jabatan serta Agensi Kerajaan Negeri Johor yang telah bersama-sama dalam usaha membantu rakyat Johor,” katanya.

Onn Hafiz berkata, menerusi kategori kemasyarakatan, sebanyak lapan inisiatif digariskan dengan dana berjumlah RM34.16 juta bagi menyantuni penduduk dari golongan nelayan, penggerak masjid, pesara polis dan askar serta pekerja di sektor pengangkutan.

Antaranya adalah bantuan 10 kilogram beras (RM23.67 juta); bantuan RM300 kepada pekerja ekonomi gig seperti pemandu teksi, e-hailing dan penghantar makanan (RM3.5 juta); RM300 kepada nelayan berdaftar (RM3.38 juta); RM500 kepada imarah masjid dan surau (RM2.3 juta); RM500 kepada Ketua Kampung (RM314,000); persatuan veteran angkatan tentera dan polis.

Selain itu, bantuan kemasyarakatan turut menghargai golongan fakir miskin, geran kepada pusat jagaan warga emas dan anak yatim, golongan OKU, pengecualian sewaan rumah bagi projek PPR.

Bagi kategori orang muda Johor pula, sebanyak empat inisiatif dilaksanakan yang melibatkan dana berjumlah RM11.2 juta bagi menyantuni belia dan remaja di Johor.

Disamping itu RM21 juta diperuntukan buat kategori pendidikan, yang memanfaatkan lebih kurang 125,000 penerima terdiri pelajar, mahasiswa dan graduan di Johor melalui tiga inisiatif yang digariskan.

Manakala tujuh inisiatif dibentangkan dalam kategori ekonomi, yang melibatkan dana berjumlah RM33.28 juta dan memberi manfaat kepada 79,700 peniaga dan pengusaha di sektor pelancongan.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut bersetuju menyalurkan bantuan kewangan sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 ringgit kepada kira-kira 13,400 penjawat awam negeri ini dengan pembabitan dana berjumlah RM18.81 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here