Bekas MB Terengganu nafi mahu serah kerusi DUN Seberang Takir kepada Khairudin at-Takiri

0
52
Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (berdiri kanan) bersama Datuk Seri Dr Khairudin Aman Razali hadir dalam Majlis Berbuka Puasa Meraikan Ramadan bersama ibu tunggal dan masyarakat di Parlimen Kuala Nerus semalam

CYBERJAYA – Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menafikan menawarkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang kini disandangnya kepada bekas ahli Pas, Datuk Seri Dr Khairudin Aman Razali untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Beliau berkata, dakwaan itu yang dibuat oleh sebuah portal berita adalah palsu dan merupakan satu fitnah.

“Selesai saya bersolat terawih semalam. Saya menerima banyak panggilan telefon  yang bertanyakan tentang satu status facebook yang disiarkan melalui akaun “Terengganu Repot” yang menyatakan saya telah mengeluarkan kenyataan kononnya saya sanggup melepaskan kerusi  DUN Seberang Takir kepada Ahli Parlimen Kuala Nerus itu pada PRU15 nanti.

“Petikan status tersebut turut disertai gambar kehadiran saya pada sidang media Datuk Seri Dr Khairuddin.

“Oleh itu, saya ingin menegaskan bahawa status facebook tersebut adalah tidak benar, palsu dan merupakan fitnah berat yang dilemparkan kepada saya yang bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan oleh sebuah portal yang didakwa fitnah

Mengulas lanjut, Razif berkata, laporan yang dibuat itu juga langsung tidak masuk akal, lawak, karut dan memalukan dengan dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Lebih menyedihkan katanya, apabila fitnah sedemikian telah disebarkan pada bulan Ramadan yang mulia.

Menjelas situasi sebenar kehadirannya dalam majlis itu, Razif berkata, beliau hadir atas kapasiti sebagai ADUN Seberang Takir dan sekadar turut hadir pada Majlis Berbuka Puasa Meraikan Ramadan bersama ibu tunggal dan masyarakat di Parlimen Kuala Nerus.

Beliau menjelaskan, majlis tersebut juga turut dihadiri Khairuddin selaku Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Malah katanya,  tiada sebarang kenyataan pun dikeluarkan olehnya sebagaimana yang dilaporkan oleh akaun Facebook tersebut.

Ahmad Razif merupakan Menteri Besar Terengganu ketika Barisan Nasional (BN) memerintah negeri itu pada PRU lalu sebelum dilantik sebagai ketua pembangkang selepas BN yang diterajuinya tewas dalam PRU14 lalu.

PRU14 menyaksikan Pas berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri daripada BN dengan majoriti dua pertiga.

Kemenangan itu mengulangi kejayaan Pas yang pernah membentuk kerajaan negeri dalam PRU10 pada tahun 1999.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here