Bilangan kes mingguan HFMD di Selangor melebihi paras amaran

0
54

CYBERJAYA – Bilangan kes mingguan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Selangor kini telah melebihi paras amaran.

Menurut Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman, setakat 27 April lepas, sebanyak 5,346 kes direkodkan di negeri ini bagi penyakit yang biasanya menjangkiti kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun itu.

“Pada masa yang sama, terdapat 112 kluster HFMD telah dilaporkan melibatkan 547 kes dengan 95 peratus daripadanya melibatkan kluster di taska, tadika serta pusat jagaan harian, namun tiada kematian dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dr Sha’ari berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menggesa orang ramai khususnya pengusaha serta penjaga kanak-kanak untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti sentiasa memastikan kebersihan premis terutama lantai, bilik air dan peralatan yang digunakan kanak-kanak.

“Selain itu pihak yang terbabit perlu membuat saringan di pintu masuk premis, sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan ketika menguruskan kanak-kanak, memastikan lampin pakai buang dibuang dalam tong yang bertutup serta melaporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah berdekatan,” katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD seperti demam dan ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah, supaya tidak membawa anak mereka ke tempat awam, selain mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan sentiasa membersihkan permainan anak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here