Bukan kesan vaksin tapi penyakit kayap – Dr. Lay Ming

0
51
Gambar yang didakwa kesan sampingan dihadapi seorang warga emas selepas menerima suntikan vaksin baru-baru ini.

IPOH – Dakwaan kesan alahan ruam dan kulit bernanah yang dihadapi seorang warga emas selepas menerima suntikan vaksin di daerah Kuala Kangsar dekat sini baru-baru ini adalah disebabkan oleh jangkitan penyakit kayap.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, selepas melakukan siasatan terhadap kes berkenaan pihaknya mendapati lelaki berkenaan mengidap Herpes Zoster atau kayap.

Menceritakan kejadian itu, Dr. Lay Ming berkata, warga emas berkenaan telah menerima suntikan pada 6 April lalu setelah hadir di Klinik Kesihatan Padang Rengas untuk mendapatkan rawatan susulan penyakit kronik.

Katanya, persetujuan menerima suntikan itu diperolehi selepas pegawai kesihatan
di klinik berkenaan mendapati dia tidak pernah menerima sebarang suntikan vaksin Covid-19 lalu dinasihatkan berbuat demikian.

“Memandangkan beliau mempunyai masalah logistik dan sukar untuk datang ke klinik semula sekiranya terpaksa hadir untuk dos kedua, pegawai perubatan telah memberikan kaunseling mengenai suntikan dos tunggal vaksin CanSino,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lay Ming berkata, dua hari kemudian, warga emas tersebut hadir semula ke klinik bersama seorang waris yang mengadu mengenai ruam di bahagian dada, leher dan bahu.

Katanya, setelah itu warga emas tersebut dirujuk untuk rawatan lanjut di Klinik Pakar Dermatologi Hospital Taiping pada 11 April dan pakar Dermatologi telah menjalankan pemeriksaan dan mengambil sampel bagi ujian makmal Tzanck Smear.

“Hasil ujian makmal mengesahkan individu tersebut menghidap penyakit Herpes Zoster atau kayap dan telah diberikan ubat antiviral serta ubat tahan sakit.

“Tarikh temu janji susulan di klinik pakar pada 19 Mei 2022 telah diberikan dan keadaan pesakit kini stabil serta dirawat sebagai pesakit luar,” jelasnya.

Baru-baru ini tular di sosial media seorang cucu mendakwa datuknya mengalami ruam serius sehingga bengkak dan bernanah selepas menerima suntikan vaksin di sebuah klinik kesihatan di Kuala Kangsar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here