Covid-19: Kes harian menurun, 12 kematian dengan 6 BID

0
6
Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan merekodkan 9,705 kes baharu Covid-19 setakat semalam menjadikan kumulatif kes di negara ini kini berjumlah 4,382,402 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor mencatat jumlah kes baharu yang tertinggi iaitu 6,184 kes, diikuti Kuala Lumpur (683), Perak (505), Negeri Sembilan (504), Johor (313), Pulau Pinang (302), Melaka (263), Kedah (189), Sarawak (189), Terengganu (148), Pahang (132), Sabah (101), Kelantan (77), Putrajaya (59), Perlis (14) dan Labuan (10).Berdasarkan portal CovidNow, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kes aktif pada masa ini sebanyak 108,523 kes.

Sementara itu, sebanyak 12 lagi kes kematian disebabkan Covid-19 dilaporkan dengan enam daripadanya adalah kes mati ketika dibawa ke hospital (BID).

Beliau berkata, sebanyak 14,346 kes sembuh direkodkan serta majoriti kes baharu iaitu sebanyak 9,656 kes bersamaan 99.5 peratus dengan pecahan 4,653 kes (47.95 peratus) adalah dari kategori 1 dan 5,003 kes (51.55 peratus) adalah dari kategori 2.

“Selebihnya iaitu 0.5 peratus bersamaan 49 kes adalah kategori 3, 4, dan 5. Dari jumlah kes tersebut, 17 kes daripadanya dikesan tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi,
15 kes telah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak (booster),
17 kes telah menerima dos penggalak (booster), 29 kes berumur 60 tahun dan ke atas, 27 kes mempunyai komorbid serta satu kes adalah kes ibu mengandung.

“Manakala, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 134 kes dan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sepanjang minggu lepas, purata 18.4 kes kematian Covid-19 telah dilaporkan dan setakat ini sejumlah 35,409 orang telah meninggal akibat wabak ini.

Bagi kes yang dirawat di hospital pula, sejumlah 2,268 pesakit Covid-19 dengan 134 daripadanya berada di unit rawatan rapi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here