Cuti Songkran pengiktirafan kepada masyarakat Siam

0
21

CYBERJAYA – Pemberian cuti tanpa rekod selama sehari kepada penjawat awam berketurunan Siam yang menyambut Tahun Baharu Siam atau Songkran merupakan satu pengiktirafan kepada masyarakat itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keistimewaan yang itu adalah penghargaan kepada bangsa itu yang sama-sama berusaha membangunkan negara ini.

“Anggaplah keistimewaan ini sebagai pengiktirafan kepada masyarakat Siam yang menjadi sebahagian daripada rakyat pribumi negara ini.

“Saya berharap seluruh masyarakat Siam dapat menggunakan perayaan ini bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan silaturahim dengan sahabat handai serta jiran tetangga yang berbilang bangsa.

“Itulah asas kepada kesejahteraan yang menjadi tunjang kepada konsep Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.

Bagaimanapun Ismail Sabri mengingatkan bahawa sambutan itu perlu diraikan dengan mengambil kira bahawa ancaman Covid-19 masih menular.

“Sama-samalah kita mendoakan agar keadaan kembali pulih seperti sediakala agar kita boleh menyambut perayaan ini dan perayaan rakyat Malaysia yang lain dengan lebih meriah lagi,” katanya.

Dalam pada itu beliau yang mengucapkan selamat menyambut perayaan Songkran 2022 juga mendoakan masyarakat Siam dan seluruh anggota Keluarga Malaysia berada dalam keadaan sihat sejahtera sepanjang masa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here