Dakwa jadi mangsa konspirasi, Tun Faisal dicabar tunjuk bukti dan saksi

0
42
Datuk Tun Faisal Ismail Aziz

PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dicabar untuk menyebut nama saksi atau sumber yang mendakwa mesyuarat UMNO bahagian yang bersidang kelmarin mahu memecatnya.

Menurut Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, Tun Faisal hanya cuba mewujudkan keadaan kononnya ada konspirasi hendak menjatuhkannya.

“Tun Faisal mendakwa beliau mempunyai saksi di dalam mesyuarat UMNO bahagian yang mahu memecatnya.

“Oleh demikian, saya mahu beliau menyebut siapakah nama saksi tersebut supaya senang untuk saya mengesahkan bahawa saksi beliau tersebut dari kalangan Ahli Jawatankuasa Bahagian (AJK) bahagian atau pun sebaliknya.

“Jika tidak disebut nama, bagaimana kami hendak buktikan kenyataan Tun Faisal ini betul atau tidak, jika tidak ia lebih kepada khabar angin sahaja,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Mohd Hisamudin berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Tun Faisal kononnya UMNO Putrajaya tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Rayuan Lembaga Disiplin parti itu dan mahu mengambil langkah susulan bagi memastikan beliau dipecat.

Tun Faisal yang digantung keahliannya itu mendakwa Ketua UMNO bahagian, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kurang senang dengan keputusan lembaga disiplin.

Dalam pada itu, Mohd Hisamudin turut menyindir Tun Faisal yang pernah  mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersumpah sebelum ini.

Beliau berkata, adalah tidak mustahil pada masa akan datang beliau akan mengajak ketuanya sendiri, Tan Sri Annuar Musa atau Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula untuk bersumpah bagi menunjukkan dirinya sahaja yang betul.

“Tun Faisal sebenarnya mahu menggunakan media dan laporan-laporan yang disiarkan untuk mempertahankan dirinya kepada Lembaga Disiplin UMNO dan menunjukkan kepada umum bahawa dirinya teraniaya dan wujud konspirasi hendak menjatuhkannya di peringkat bahagian.

“Saya harap Tun Faisal bertenang dan berdoa semoga beliau selamat daripada sebarang tindakan kerana permasalahan yang ada sekarang adalah antara beliau dan Lembaga Disiplin parti dan adalah kurang bijak apabila mengaitkan bahagian semata-mata kerana kuasa menggantung hanya ada pada Lembaga Disiplin.

“Nasihat saya tidak perlulah bertindak seolah-olah hendak menjadi mangsa keadaan dan saya amat kasihan dengan sahabat saya ini yang semakin keliru dan celaru dengan masalah yang sedang dihadapi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here