Datuk Dr. Awang Adek dilantik Pengerusi SC yang baharu

0
18

CYBERJAYA – Bekas Pengerusi MARA, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang baharu berkuat kuasa selama tiga tahun mulai 1 Jun 2022 hingga 31 Mei 2025.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan tersebut adalah bagi menggantikan Datuk Syed Zaid Syed Jaffar Albar yang meletak jawatan berkuat kuasa pada 31 Mei 2022.

AWANG ADEK

“Kementerian Kewangan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang tempoh sebagai Pengerusi Eksekutif SC sejak 1 Nov 2018 hingga 30 Mei 2022.

“Bagi memastikan peralihan yang lancar dan teratur serta memastikan kesinambungan pentadbiran SC, Kementerian Kewangan telah melantik Datuk Dr. Awang Adek Hussin sebagai Pengerusi Eksekutif SC yang baharu,” kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan, hari ini.

Pelantikan Awang Adek yang mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang pasaran modal dan kewangan Islam adalah selaras dengan seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 [Akta 498].

Beliau berkelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang ekonomi daripada University of Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Antara pengalaman beliau adalah sebagai Penolong Gabenor di Bank Negara Malaysia, bekas ahli Lembaga Pengarah SC, bekas Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Ketua Pengarah pertama bagi Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Pesisir Labuan (LOFSA), bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, bekas Pengerusi MARA, dan pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan pada tahun 2006 hingga 2013.

“Berbekalkan pengalaman yang ada, Kementerian Kewangan yakin Awang Adek mampu memberi sumbangan cemerlang demi memastikan SC mencapai matlamatnya untuk menjadi organisasi yang berprestasi tinggi,” kata kenyataan itu lagi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here