Demi anak murid, sekumpulan guru sanggup jalan kaki selama 18 jam ke sekolah

0
42
Guru-guru berehat sebelum meneruskan perjalanan.

CYBERJAYA – Demi memastikan murid yang tinggal di kawasan pedalaman mendapat pendidikan sempurna seperti murid lain di bandar, sekumpulan guru di sebuah sekolah kebangsaan (SK) di Sabah sanggup meredah laluan berliku selama 18 jam.

Menurut anak kepada Guru Besar SK Pangaraan, Zazila Roslan, dia berasa sedih melihat ibunya dan guru-guru lain terpaksa berjalan kaki sejauh 30 kilometer (km) dengan mengharungi jalan berlumpur dan hanya berbuka puasa selama beberapa minit sebelum meneruskan semula perjalanan ke sekolah.

“Ibu saya, Cikgu Jusseh Agitor yang akan bersara tahun depan biasanya tinggal di kuarters guru tetapi pada cuti persekolahan baru-baru ini dia telah pulang melawat keluarganya di Keningau.

“Luluh hati saya melihat dia dan guru lain berjalan kaki selama 18 jam, berbuka puasa di jalan berlumpur yang dikelilingi semak dan berehat beberapa minit sahaja sebelum meneruskan perjalanan ke sekolah. 

“Sebelum ini, orang ramai boleh menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk pergi ke SK Panggaraan tetapi tiga jambatan usang yang menghubungkan Pekan Nabawan, Kampung Pohon dan Kampung Panggaraan telah runtuh pada 5 Mac lalu,” katanya memetik laporan The Borneo Post.

Selain daripada jambatan rosak, tanah runtuh turut berlaku di Kampung Binanun sehingga mengakibatkan kedua-dua kampung berkenaan terputus hubungan.

Dalam pada itu, mengimbas semula pengalamannya ketika masih kecil, dia bersama ibunya terpaksa bermalam di rumah orang  kampung sebelum meneruskan perjalanan yang jauh untuk ke sekolah berkenaan.

“Saya tidak menyangka 27 tahun kemudian ibu saya dan guru-guru lain terpaksa menghadapi situasi yang sama.

“Ibu saya diberi kebenaran untuk bekerja di pejabat yang terletak di pekan sehingga kerja pembaikan jalan selesai tetapi sikapnya yang tidak boleh duduk diam, dia tetap akan memastikan pelajarnya tidak keciciran kelas,” katanya lagi.

Zazila juga berharap agar kisah ini akan tular berikutan kampung-kampung yang terjejas sangat memerlukan bantuan dari segi makanan dan pemeriksaan kesihatan secara berkala kerana kemudahan sedia ada adalah sangat tidak mencukupi bagi mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here