Dijanjikan 15 kali ganda keuntungan, guru kerugian RM45,500

0
36

SEREMBAN – Gara-gara terlalu mudah mempercayai pelaburan yang mampu memberi pulangan menguntungkan, seorang guru dari Jempol di sini kerugian sebanyak RM45,500 selepas diperdaya sindiket penipuan melalui aplikasi Telegram.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata, mangsa yang tampil membuat aduan kepada pihak polis mendakwa telah ditipu selepas beberapa kali memasukkan wang kepada akaun bank tempatan milik seorang individu.

Chang Hook berkata, mangsa mengakui telah dimasukkan ke dalam kumpulan aplikasi Telegram dan ditawarkan peluang mendapat keuntungan berlipat kali ganda dalam masa pelaburan tiga hingga 6 jam sahaja.

“Lelaki berusia 52 tahun itu telah memilih pakej 1 iaitu membayar sebanyak RM1,000 dengan pulangan RM16,000 dalam tempoh masa perdagangan tiga hingga enam jam.

“Tertarik dengan tawaran tersebut, lelaki berkenaan melakukan bayaran sebanyak RM1,000 ke akaun bank tempatan milik seorang individu pada hari sama.

“Pada 18 hingga 19 April, mangsa telah membuat empat kali transaksi berjumlah RM44,500 ke beberapa akaun bank tempatan milik syarikat dan individu lain,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hoo Chang Hook

Chang Hook berkata, sebelum menyedarinya dirinya telah ditipu, mangsa diminta membuat bayaran sebanyak RM27,500 untuk mendapatkan pulang berjumlah RM82,500.

Katanya, mangsa yang berasa telah ditipu tampil membuat laporan polis semalam dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Hoo berkata, seorang jurujual lelaki berusia 30 tahun dari Bahau kerugian RM20,000 selepas terpedaya dalam sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram dan kegiatan dadah.

“Mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki pada 16 April lepas dan panggilan itu didakwa disambungkan kepada pegawai polis bagi menjalankan siasatan terhadap mangsa,” katanya.

Beliau berkata, mangsa telah mendedahkan semua butiran dan maklumat akaun kepada individu tidak dikenali.

“Mangsa yang berasa curiga membuat semakan akaun bank dan mendapati wang telah berkurangan sebanyak RM20,000,” katanya.

Katanya, mangsa yang menyedari telah ditipu membuat laporan polis pada Selasa lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Chang Hook menasihatkan orang ramai supaya lebih bermati-mati dan sentiasa berwaspada agar tidak terjerat dalam sindiket yang menawarkan keuntungan dengan cara mudah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here