Empat rumah nelayan musnah dalam kebakaran pagi tadi

0
5
Tangkap layar video kejadian kebakaran di Kampung Kuala Muda, Penaga di Kedah, pagi tadi.

KEPALA BATAS – Sebanyak empat buah rumah dilaporkan musnah dalam satu kebakaran di Kampung Kuala Muda, Penaga pagi tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.49 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kebakaran membabitkan empat rumah kelas B milik nelayan yang terletak bersebelahan yang setiap satunya berkeluasan kira-kira 56 meter persegi.

“Peratusan kebakaran keseluruhan adalah dianggarkan 80 peratus dan api telah dapat dikawal pukul 7.18 pagi.

“Kerja-kerja pengawalan dan pemadaman masih dijalankan dengan dibantu oleh pasukan bomba sukarela berdekatan.

“Tiada mangsa yang dilaporkan terlibat,” katanya kepada pemberita.

Operasi itu membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda; Kepala Batas dan Bertam.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah turut berkongsi video kejadian di laman Facebook miliknya.

“Mendapat khabar duka telah berlaku kebakaran pagi tadi di Kuala Muda Penaga yang memusnahkan beberapa buah rumah.

“Takziah kepada keluarga dan mangsa-mangsa yang terlibat, kebanyakan mereka adalah nelayan. Sabar dengan ujian Allah SWT dan yakinlah setiap musibah itu ada hikmahnya,” katanya dalam paparan tersebut.

Beliau turut menyeru orang ramai yang ingin membantu mangsa supaya menyalurkan bantuan menerusi Pusat Khidmat ADUN Penaga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here