Gagal urus lawatan PM ke Dubai punca Duta Besar, Konsul Jeneral dipanggil pulang

0
102
Bangunan Wisma Putra di Putrajaya.

CYBERJAYA – Kementerian Luar mengesahkan Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai dipanggil pulang ke kementerian berkenaan.

Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan, tindakan itu diambil disebabkan kegagalan dua pegawai terbabit menguruskan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Dubai pada 29 hingga 31 Mac lalu.

Jelasnya, dua pegawai kanan terbabit gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan Perdana Menteri, seperti masa yang sepatutnya berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi lawatan peringkat tertinggi negara di luar negeri terutama semasa ketibaan Perdana Menteri di Dubai pada 29 Mac lalu.

Kegagalan itu termasuk menyebabkan Perdana Menteri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai selain tiadanya liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk Perdana Menteri seperti amalan SOP.

“Lazimnya dalam apa keadaan sekalipun, seperti mana ketika Perdana Menteri menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York, walaupun kerajaan tuan rumah tidak dapat menyediakan taraf tetamu, Ketua Perwakilan Malaysia tetap menyediakan liputan dan kawalan keselamatan serta motoked yang mengikuti SOP untuk Perdana Menteri.

“Kedua-dua pegawai terbabit juga gagal memaklumkan kepada KLN di Putrajaya mengenai penganjuran World Government Summit (WGS) yang diadakan dalam kawasan Ekspo Dubai, dan pimpinan tertinggi KLN hanya mengetahui mengenai WGS pada pagi 30 Mac melalui sumber lain.

“Dan sekiranya perkara ini dimaklumkan lebih awal, usaha pastinya dibuat supaya Perdana Menteri menyampaikan ucapan di program berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut katanya, masalah tersebut tidak akan berlaku sekiranya penyelarasan dibuat lebih awal kerana kerajaan UAE telah menyediakan semua kemudahan kepada Perdana Menteri sebagai Ketua Kerajaan sehingga ke akhir lawatan.

“Justeru, semasa majlis perlepasan pulang Perdana Menteri dari Dubai, kerajaan UAE telah mengaturkan static guards of honour di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum, dan kerajaan UAE diwakili oleh Menteri Negara bagi Kecerdasan Buatan (AI) dan Ekonomi Digital UAE, Omar Sultan Al Olama.

“Semasa di lapangan terbang itu, Omar menyampaikan undangan kerajaan UAE kepada Perdana Menteri untuk menyampaikan Ucap Utama di WGS tahun 2023, dan Perdana Menteri telah menyatakan persetujuannya menerima undangan tersebut.

“Tindakan memanggil balik kedua-dua pegawai tersebut bukan sesuatu luar biasa dan dibuat melalui perundingan dengan pihak-pihak yang berkenaan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ia diambil bagi menjaga kepentingan hubungan bilateral di antara Malaysia dan negara-negara berkenaan, di samping bagi memastikan kompetensi dan kepentingan perkhidmatan awam,” katanya.

Sementara itu, Kementeri Luar turut menyatakan kekesalan dengan laporan sebuah portal berita berhubung lawatan Ismail Sabri ke Dubai kerana laporan berkenaan bukan sahaja mengandungi maklumat tidak tepat malahan lebih bersifat spekulasi dan tohmahan yang tidak berasas.

“Berdasarkan kandungan tulisan itu jelas sekali sumber yang dirujuk atau dipetik bukannya datang daripada pegawai atau pihak yang terbabit secara langsung dalam mengendalikan urusan lawatan berkenaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here