Guru rugi suku juta diperdaya individu menyamar pegawai LHDN

0
27
Gambar hiasan.

SIPITANG – Seorang guru kerugian RM254,600 selepas diperdaya sindiket scam yang menyamar sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.

Mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an dilapor menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN pada 14 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, mangsa yang mempunyai sebuah syarikat menggunakan namanya dimaklumkan mempunyai cukai berjumlah RM38,500.

“Mangsa kemudian dimaklumkan terdapat satu akaun bank atas namanya yang berkaitan dana haram sebanyak RM312,000

“Panggilan kemudian disambung kepada seorang yang didakwa seorang sarjan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Champin berkata, mangsa kemudian diminta menyerahkan maklumat akaun banknya yang didakwa untuk tujuan penyiasatan.

Katanya, antara 14 hingga 26 Mac lalu, mangsa diarah memindahkan wang ke dalam enam akaun bank yang berbeza.

Mangsa hanya menyedari tertipu pada 30 Mac lalu dan terus tampil ke balai polis untuk membuat laporan.

Laporan juga dibuat berikutan mangsa takut semua dokumen peribadi dan identitinya akan disalahgunakan,” katanya.

Champin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun menurutnya, sebelum ini terdapat dua kes seumpama yang berlaku di daerah ini membabitkan warga pendidik dan kesihatan.

“Saya meminta semua warga daerah ini supaya jangan terperdaya mahupun melayan panggilan telefon daripada mana-mana pihak tidak dikenali yang menyamar sebagai kakitangan LHDN, polis, mahkamah dan lain-lain.

“Orang ramai dimohon menyemak dan berhubung dengan pihak polis untuk kepastian bagi mengelak diperdaya oleh sindiket Macau Scam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here