Hina mahkamah, Ahli Parlimen Petaling Jaya dipenjara 7 hari

0
51
Maria Chin Abdullah

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dipenjara tujuh hari berkuat kuasa serta merta oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur selepas didapati menghina mahkamah.

Hakim Mohamed Faouzi Mokhtar menjatuhi hukuman tersebut selepas mendapati Ahli Parlimen Petaling Jaya itu telah menghina mahkamah berkait dengan kes membabitkan Pengerusi Bersama Kumpulan Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin dan bekas isterinya, Emelia Hanafi.

“Mahkamah dengan ini mensabitkan perbuatan menghina mahkamah oleh responden melalui artikel yang diterbitkan pada 5 September 2018.

“Mahkamah juga menolak notis tunjuk sebab yang dikemukakan oleh responden (Maria). Oleh itu mahkamah memerintahkan Maria Chin Abdullah dihukum penjara tujuh hari berkuat kuasa hari ini,” memetik laporan Utusan Online hari ini.

Terdahulu, Hakim Mohamed Faouzi ketika membacakan penghakiman ringkasnya menyatakan tajuk yang digunakan oleh Maria dalam artikel tersebut sendiri telah menghina mahkamah dan memberikan tanggapan buruk terhadap institusi mahkamah syariah di mata awam.

“Responden juga telah menggunakan fakta yang salah, tidak berkaitan dalam penulisannya.

“Tindakan responden jelas merendahkan, memperlekehkan, memfitnah dan menghina Mahkamah Syariah.

“Responden sebagai Ahli Dewan Rakyat juga tidak wajar untuk memfitnah dan menghina mahkamah yang sedang menjalankan tanggungjawabnya,” kata hakim tersebut.

Pada 9 September 2019, SM Faisal mengemukakan permohonan komital (menghina mahkamah) terhadap Maria dan permohonan itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 14 Oktober 2019.

SM Faisal mengemukakan permohonan itu selepas wanita itu mengeluarkan kenyataan mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini selepas menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap bekas isterinya, Emilia Hanafi kerana mengubah tarikh lawatan anak-anaknya untuk bersama bapa mereka.

Emilia kemudian dibebaskan dengan jaminan RM5,000 sementara menunggu rayuan.

Kenyataan Maria yang menyatakan wanita Islam masih didiskriminasi di bawah sistem undang-undang syariah Malaysia telah disiarkan di sebuah portal pada tahun sama.

Pasangan berkenaan bercerai pada 2016 dan hak penjagaan penuh terhadap tiga anak mereka, Fawwaz, Faiz dan Farhan diberikan sepenuhnya pada Emilia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here