
CYBERJAYA – Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas memuat naik satu hantaran berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dalam akaun Facebook miliknya.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Abd Jalil Hassan, lelaki berusia 50 tahun itu yang menggunakan akaun Facebook Uthaya Sankar SB membuat hantaran itu pada 7 April lalu.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan di atas alasan agama suasana tidak harmoni atau perasaan permusuhan atau memudaratla. perpaduan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak perkhidmatan rangkaian wajar kemudahan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, suspek ditangkap dalam sebuah rumah di kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam pada pukul 11.15 pagi tadi.

Katanya, turut dirampas ialah satu unit telefon bimbit jenama Iphone XR beserta kad sim.
Beliau berkata, peralatan itu dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran tersebut.
“Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenaya akan dibuat esok.
“Siasatan masih diteruskan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” ujarnya.