Hina Naib Canselor, bekas pelajar UM diperintah bela diri

0
121

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan graduan jurusan kejuruteraan sivil Universiti Malaya (UM), Wong Yan Ke supaya membela diri atas pertuduhan menghina bekas Naib Canselor, Datuk Abdul Rahim Hashim pada majlis konvokesyen 2019.

Peguam Yan Ke, Tan Wei Shin berkata, keputusan itu dibuat mahkamah selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Yan Ke di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Mahkamah berpuas hati apabila kes prima facie berjaya dibuktikan terhadap Yan Ke,” katanya kepada pemberita di luar kompleks mahkamah, hari ini.

Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali menetapkan 4 hingga 7 Julai sebagai tarikh perbicaraan.

Kata Wei Shin lagi, mahkamah menetapkan satu lagi tarikh sebutan lain pada 17 Mei untuk pihak pembelaan mengemas kini bilangan saksi yang akan dipanggil.

Timbalan Pendakwa Raya Fahiran Nor Jihan Mukhtar mengendalikan kes pendakwaan.

Ke Yan, yang merupakan koordinator di Suara Rakyat Malaysia (Suaram) didakwa melakukan kesalahan itu pada Majlis Konvokesyen UM ke-59 di Dewan Tunku Canselor pada Oktober 2019.

Dia yang juga Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany) ketika itu,mencetuskan kekecohan ketika menerima skrolnya apabila membawa plakad bantahan di atas pentas menuntut peletakan jawatan naib canselor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here