Jamuan makan di masjid dan surau dibenarkan di Johor

0
14
Gambar hiasan

BATU PAHAT – Selepas kebenaran merapatkan saf ketika menunaikan solat di seluruh negara, kehadiran Ramadan di negeri ini dimeriahkan lagi dengan kebenaran mengadakan jamuan di surau dan masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fareed Mohd Khalid berkata, kebenaran itu bagaimanapun terhad kepada penglibatan 50 orang sahaja.

Jelas beliau, sekiranya penganjuran jamuan atau majlis makan-makan tersebut melibatkan jumlah melebihi angka tersebut, penganjur perlu menyediakan makanan secara berbungkus kepada jemaah yang hadir.

“Kita nak maklumkan prosedur operasi standard (SOP) untuk berbuka puasa. Setiap masjid boleh buat berbuka puasa, melainkan lebih 50 orang, mesti berbungkus. Kalau berbuka puasa tidak ramai dalam 20 orang, dibenarkan berhidang.

“Lain-lain SOP untuk aktiviti di masjid dan surau adalah sama seperti sebelum ini, hanya berbuka sahaja kita longgarkan. Solat berjemaah dengan sejadah dirapatkan dan kapasiti jemaah mengikut keluasan masjid,” katanya memetik laporan Bernama.

Jelas Mohd Fared lagi, aktiviti masak-memasak di surau dan masjid masih tidak lagi dibenarkan termasuklah memasak bubur lambuk yang menjadi tradisi sebelum ini yang kebanyakannya dilakukan di masjid.

“Edaran dan penyampaian bubur lambuk berkenaan dibenarkan diadakan di masjid dan surau, namun hanya memasaknya sahaja tidak dibenarkan serta perlu dilaksanakan di tempat yang lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here