Jangan ganggu proses mahkamah, hentikan komen keterlaluan terhadap Siti Bainun

0
58
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Foto-Farid Janudin

CYBERJAYA – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak bertindak secara keterlaluan dalam kes penderaan melibatkan remaja sindrom down, Bella sehingga menjejaskan perbicaraan kes tersebut yang sedang berjalan di mahkamah.

Menurut Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim, orang awam juga diseru untuk tidak menjatuhkan hukuman secara sewenang-wenangnya terhadap orang kena tuduh (OKT) yang juga Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali sebelum mahkamah membuat keputusan.

“Pada pandangan saya, sebagai orang awam yang hanya mengikuti laporan kes ini melalui media sosial, cetak dan elektronik, tidak adil rasanya jika kita terus mencerca, memaki hamun dan menghina Siti Bainun sedangkan perbicaraan kes tersebut sedang berjalan di mahkamah.

“Saya menyeru agar netizen tidak sewenang- wenangnya menjatuhkan hukuman kepada OKT kerana adalah sangat penting kepada kita semua untuk menghormati prinsip undang-undang yang diamalkan di negara ini.

“Artikel 11 Pengistiharan Antarabangsa Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR 1948) juga turut memperuntukkan hak seseorang itu tidak bersalah melainkan setelah dibuktikan bersalah,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Datuk Norshida Ibrahim

Sehubungan itu, Norshida meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes itu menjalankan tugas masing-masing dengan lancar tanpa provokasi atau gangguan melampau.

“Dalam konteks ini, saya percaya dengan kredibiliti sistem kehakiman negara kita yang telus dalam menghakimi sesuatu kes.

“Saya juga yakin pendera adik Bella akan kita ketahui tidak lama lagi berdasarkan bukti-bukti dan hujah-hujah yang dikemukakan satu persatu.

“Apa yang pasti, pelaku yang mendera Bella tidak akan terlepas dari hukuman. Oleh yang demikian, adalah sangat penting bagi kita untuk membiarkan pihak mahkamah dan pihak yang terlibat dengan perbicaraan menjalani perbicaraan tersebut dengan aman dan lancar.

“Netizen juga tidak perlu khuatir kerana dengan keprihatinan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail dan isteri baginda, Cik Puan Besar Khaleda, empat orang peguam pemerhati telah ditugaskan utk memastikan ketelusan proses undang-undang sepanjang perbicaraan kes ini berlangsung.

“Selain itu, Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga telah mengambil tindakan sewajarnya mengenai kes ini cuma ia tidak diwar-warkan secara meluas dan oleh kerana dunia hari ini teknologi dihujung jari maka kontroversi kes ini telah tersebar laju membelakangi usaha-usaha yang telah diambil oleh pihak kerajaan,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here