Jangan percaya berita tular 1 Syawal disambut 2 Mei – Balai Cerap Melaka

0
75
Tangkap layar melalui kiriman WhatsApp yang disebarkan

CYBERJAYA – Balai Cerap Al-Khawarizmi menafikan mengeluarkan kenyataan kemungkinan 1 Syawal tahun ini disambut pada 2 Mei dan bukannya 3 Mei seperti yang ditularkan dalam media sosial.

Sebaliknya, balai cerap berkenaan dalam satu kenyataan berkata, tangkap layar melalui kiriman WhatsApp itu adalah palsu.

Menurutnya, sebarang pemakluman awal adalah tidak benar sehingga hasil keputusan rukyah pada 29 Ramadan 1443 diterima dan selesai dilakukan.

“Kaedah penetapan awal bulan Islam di Malaysia adalah secara imkanurukyah (rukyah dan hisab) yang mana rukyah dilakukan pada petang 29 Ramadan 1443 di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan di seluruh Malaysia.

“Hasil keputusan rukyah akan dilaporkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam 29 Ramadan 1443 dan keputusan kenampakan hilal akan diumumkan pleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya semalam.

Terdahulu, tular kenyataan tangkap layar yang didakwa dikeluarkan pihak Balai Cerap Melaka meminta umat Islam bersedia untuk kemungkinan tarikh 1 Syawal tahun ini berubah kepada awal sehari daripada yang tertera di kalendar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here