‘Kaitkan dengan Yahudi punca saya mengamuk’ – luah Chef Ammar

0
231
Chef Ammar mengadun nasi Arab sebelum dibungkus kepada pelanggannya

SHAH ALAM – “Chef Ammar orang Palestin tapi jual harga Tel Aviv, itu yang buat saya mengamuk,” demikian luahan cef terkenal, Chef Ammar yang terpalit dengan kontroversi sejak beberapa hari lalu apabila terdapat pelanggan yang mendakwa nasi Arab dijualnya mahal.

Menurut Chef Ammar, lebih mengecewakannya apabila setiap isu yang melibatkan Israel sangat sensitif dan tidak sepatutnya digunakan terutamanya kepada warga Palestin.

“Kamu pun tahu Palestin dan Yahudi dia punya sensitif macam mana. Kaum Yahudi sudah ambil negara kita dan mereka sudah buat macam-macam, saya juga dah tak boleh masuk sebab kena ada visa.

“Padahal itu negara ibu saya, negara bapa saya tapi saya tak boleh masuk kena ada visa. Minta maaflah kalau saya cakap macam ni,” katanya kepada Malakat Tribune di Bazar Ramadan Shah Alam hari ini.

Chef Ammar

Dalam pada itu, Chef Ammar yang terkenal dengan tagline ‘masak dengan iman’ juga memohon maaf dengan bangsa Melayu yang terguris dengan kenyataan dibuatnya sebelum ini.

Katanya, beliau tidak berhasrat melukakan hati bangsa Melayu kerana beliau sendiri telah menganggap diri sebagai Melayu selepas lebih 35 tahun menetap di Malaysia dan berkahwin dengan perempuan keturunan Melayu.

“Orang kata saya hina orang melayu, saya hina apa? Saya cakap ada orang Melayu kerja macam kita (masak nasi Arab)? Kalau ada Alhamdulillah.

“Saya tak look down dengan orang Melayu, saya orang Melayu juga, malah saya telah tinggal selama 35 tahun di sini, isteri saya orang Melayu, anak saya Melayu dan cucu saya pun Melayu.

“Apa yang saya hina adakah sebab saya orang asing? Be fair lah,” luahnya dengan nada kecewa.

Baru-baru ini tular harga makanan nasi Arab Lamb Shank Chef Ammar di bazar Ramadan yang dijual sebekas RM50 didakwa mahal.

Bagaimanapun, Chef Ammar menjelaskan harga makanan itu bersesuaian dengan kualiti diberikannya kerana menggunakan bahan masakan berkualiti tinggi.

Sementara itu tinjauan Malakat Tribune di bazar Ramadan tersebut menunjukkan orang ramai tetap setia beratur di tengah panas terik matahari seawal pukul 1.30 tengah hari semata-mata tidak mahu terlepas merasa air tangan masakkan Chef Ammar.

Malah terdapat juga pelanggan yang tidak berganjak walaupun hujan lebat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here