
PUTRAJAYA – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memutuskan untuk menghentikan penggunaan kenderaan e-skuter selepas Kementerian Pengangkutan (MOT) menetapkan untuk tidak membenarkan tiga kategori kenderaan mobiliti mikro di atas jalan raya.
Yang Dipertuanya, Datuk Hamid Hussain berkata, sehubungan itu, dua pengusaha e-skuter di Cyberjaya diarahkan untuk menghentikan operasi kenderaan itu.
Beliau berkata, arahan terbaharu itu diputuskan menerusi satu mesyuarat bersama pengusaha e-skuter dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang semalam.
“Kita sudah meminta pengusaha e-skuter menghentikan perkhidmatan itu serta merta sehingga ada satu kaedah atau garis panduan dikeluarkan untuk membenarkan mereka beroperasi semula.
“Jika e-skuter itu masih dikesan beroperasi, tindakan undang-undang termasuk saman dan kompaun akan dikeluarkan oleh pihak polis,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Baru-baru ini Malakat Tribune dalam satu laporan khas mendedahkan sikap segelintir pengguna e-skuter di Cyberjaya yang menggunakan kenderaan itu secara merbahaya.
Selain tidak menggunakan e-skuter di laluan yang dikhususkan, terdapat juga pengguna kenderaan itu menunggang sambil berlumba di jalan raya.
Dalam temubual eksklusif bersama Yang Dipertua MP Sepang baru-baru ini, beliau memaklumkan langkah membenarkan e-skuter beroperasi di jalan raya ialah sebagai langkah untuk mengurangkan karbon dan untuk menghubungkan kawasan yang tidak mempunyai kenderaan awam dengan lebih efektif.