KEDA sumbang RM6.4 juta kepada 10,350 peserta tahun ini 

0
8
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid


PADANG TERAP – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) membelanjakan RM6.4 juta bagi membantu 10,350 pesertanya dalam pelbagai aktiviti bantuan ekonomi tahun ini.
 
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bantuan yang dihulurkan termasuk peralatan, infrastruktur dan program pembangunan keusahawanan.
 
“Antara jenis bantuan yang diberikan adalah input pertanian seperti benih dan baja, jentera pertanian, bina kandang ternakan, mesin dan peralatan perniagaan, kursus kemahiran serta khidmat bimbingan usahawan.

“Bantuan ini adalah langkah kerajaan untuk mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan dan membawa perubahan yang signifikan kepada lanskap kegiatan ekonomi kawasan luar bandar.” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Iftar Warga Desa KEDA di Pusat Komuniti Padang Kerasak, di sini semalam.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, KEDA telah melaksanakan bantuan ekonomi melalui tujuh program utama iaitu Program Tranformasi Desa dan Pengupayaan Komuniti (PTDPK), Projek Pertanian Petani Luar Bandar (PPLB).

“Projek Pembangunan Sawah, Program Keusahawanan Wanita, Program Transformasi Pembangunan Keusahawanan (EDEP), Program Pembangunan Kemahiran Untuk Komuniti B40 dan Program Pembangunan Semula Kawasan Terbiar (PSKT).
 
“Maklum balas yang diterima daripada peserta terlibat menunjukkan bantuan ekonomi ini memberi manfaat dalam peningkatan pendapatan isi rumah antara 30 hingga 40 peratus dan kita berharap kesemua peserta manfaatkan bantuan yang diberikan sebaik mungkin,” katanya.

“Ia sebahagian daripada inisiatif kementerian untuk merapatkan jurang perbezaan pembanguan antara luar bandar dengan bandar.

Ditanya mengenai mandat bidang pendidikan untuk mengubah nasib Warga Desa KEDA, Mahdzir berkata ramai anak-anak Desa KEDA telah mencapai kecemerlangan dan kejayaan dalam pendidikan.

“Ya, pendidikan boleh mengubah bukan sahaja dalam KEDA tapi masyarakat Melayu Bumiputera di luar bandar.

“KEDA ini kita buat rumah untuk kumpul orang kampung yang miskin tidak ada rumah dan mereka datang duduk dalam KEDA, dari situ mereka bina kesedaran dalam pendidikan dan kita tengok ada kejayaan dalam pendidikan sampai ke PHD,” katanya.

Selain itu, beliau juga turut menyampaikan bantuan ekonomi bagi PTDPK dan PPLB kepada 10 penerima dari daerah Padang Terap.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here