Kementerian Luar kenal pasti individu bergelar ‘Datin’, pemilik suara rakaman audio tular

0
53
Bangunan Wisma Putra di Putrajaya

CYBERJAYA – Kementerian Luar telah mengenal pasti individu yang disyaki membuat rakaman mengandungi tuduhan tidak berasas berhubung kementerian itu menerusi satu rakaman suara yang tular kelmarin.

Kementerian Luar berkata, individu terbabit dikenal pasti hasil penelitian daripada bukti dan keterangan beberapa saksi.

Menurutnya, susulan itu, individu terbabit dipanggil untuk membantu siasatan dan beliau membuat pengakuan sepenuhnya bahawa rakaman suara terbabit dibuat oleh beliau sendiri.

“Individu yang bergelar “Datin” tersebut merupakan seorang pegawai kepada bekas Menteri Luar sebelum pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan ataupun kerajaan Perikatan Nasional.

“Memandangkan laporan polis berhubung perkara tular ini sudah dibuat 11 April lalu, dan ia turut membabitkan individu di luar Kementerian Luar, maka laporan siasatan Jawatankuasa Siasatan Dalaman Kementerian Luar Negeri akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan dan tindakan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Luar membuat laporan polis mengenai isu seorang lelaki menyampaikan rakaman suaranya kepada individu bergelar Datin berkaitan kementerian itu yang tular di media sosial baru-baru ini.

Wisma Putra pada kenyataan sebelum ini berkata, Kementerian Luar memandang serius tuduhan tidak berasas melalui rakaman suara tular berkenaan yang dilihat bertujuan menimbulkan kekeliruan bagi kepentingan pihak-pihak tertentu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here