Kerajaan akan perkenal peraturan kecil kawal selia e-skuter

0
51

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memperkenalkan satu peraturan kecil termasuk pelaksanaan lesen berhubung penggunaan skuter elektrik atau e-skuter bagi mengawal selia penggunaan alatan mobiliti tersebut.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, peraturan itu meliputi pengguna dan pembekal kenderaan berkenaan.

“Tidak lama lagi, kita akan keluarkan kaedah atau undang-undang kecil untuk dipatuhi, (contohnya) untuk kelajuan tertentu mereka perlu mempunyai lesen,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena Sambutan Hari Raya 2022, hari ini.

Kata Ka Siong, penggunaan e-skuter kini semakin menjadi trend dalam kalangan masyarakat yang memerlukan penyelesaian sewajarnya untuk mengelakkan pengguna terdedah kepada risiko nahas memandangkan kelajuannya seperti motosikal.

Beliau berkata, penggunaan kenderaan elektrik adalah termaktub dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) (Pindaan) 2020 merangkumi aspek kenderaan mikro mobiliti yang mempunyai peraturan kecil mengenai spesifikasi berkaitan.

Tambahnya, kenderaan mikro mobiliti adalah terlalu banyak dengan menggunakan nama berbeza, justeru ia memerlukan satu definisi jelas yang akan dibuat melalui peraturan kecil berkenaan.

“Saya rasa kita kena perhalusi setiap satu dan sebenarnya libat urus telah dibuat berkali-kali. Jumlah mikro mobiliti ini banyak, nama e-basikal tapi bukan basikal iaitu kelajuan sangat tinggi dan tidak menggunakan pedal.

“Kita kena lihat setiap satu supaya tidak terlepas pandang. Definisi kena jelas dan kita kena kawal (penggunaan mikro mobiliti) demi kebaikan semua orang,” katanya lagi.

Siri laporan kru Malakat Tribune pada 15 April mendapati, rata-rata pengguna e-skuter di Cyberjaya tidak mematuhi peraturan penggunaan yang ditetapkan oleh syarikat pengendali perkhidmatan tersebut.

Antara kesalah yang berjaya dirakam lensa kamera termasuk tidak memakai peralatan keselamatan, menaiki e-skuter melebihi had kapasiti, dan menggunakan alatan mobiliti tersebut di jalan raya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here