
CYBERJAYA – Kerajaan akan terus komited untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasrat itu selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara rendah karbon.
“Kerajaan akan terus memenuhi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG sehingga 45 peratus kepada KDNK pada 2030, berdasarkan intensiti pelepasan 2005, selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara rendah karbon.
“Saya sedar ini memerlukan usaha yang bersepadu serta komitmen dan pelaburan hijau yang tinggi. Namun, saya yakin dengan penglibatan Keluarga Malaysia, komitmen ini akan memastikan Malaysia seiring dengan usaha negara lain untuk mencapai matlamat global dalam menangani perubahan iklim dan meningkatkan daya saing negara,” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Bumi sedunia hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru seluruh Keluarga Malaysia untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan menyumbang masa membudayakan amalan kelestarian demi kelangsungan generasi akan datang.

“Amalan seperti menghindari penggunaan plastik sekali guna dan penjimatan sumber tenaga perlu dijadikan kebiasaan dalam kehidupan.
“Saya juga ingin mengajak sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk sama-sama memainkan peranan dalam usaha melestarikan alam sekitar.
“Sejajar dengan Fokus Kelapan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) iaitu Mempercepatkan Pertumbuhan Hijau, pembangunan ekonomi tidak harus menjejaskan alam sekitar, manakala liputan kawasan hijau perlu dipertahankan,” katanya.