Kerajaan pimpinan Imran Khan dibubar, pilihan raya penentu siapa PM baharu

0
40
Imran Khan

ISLAMABAD – Presiden Pakistan, Arif Alvi membubarkan Parlimen negara itu bagi menyerahkan kuasa memilih Perdana Menteri yang baharu ditentukan rakyat dalam pilihan raya susulan cubaan menjatuhkan Imran Khan.

Pembubaran itu dibuat selepas timbalan speaker Parlimen menolak cadangan undian tidak percaya terhadap Imran yang dijangka akan tewas sekiranya pengundian itu dilakukan.

Bekas bintang kriket Pakistan itu mendakwa, undian tidak percaya terhadapnya digerakkan melalui konspirasi yang didalangi Amerika Syarikat (AS) untuk menggulingkannya.

Gerakan itu dikaitkan dengan tindakan Imran yang lantang mengkritik dasar AS baru-baru ini.

Imran sebelum ini melawat Moscow untuk bertemu dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin selepas seteru AS itu melakukan serangan ke atas Ukraine.

Menteri Penerangan, Fawad Chaudhry baru-baru ini mengumumkan risikan kerajaan berjaya mengesan ‘operasi’ menggulingkan Imran oleh negara luar.

Pemimpin pembangkang Pakistan mengambil peluang untuk meminta diadakan undian tidak percaya selepas bertindak memujuk sejumlah sekutu Imran untuk berpaling tadah.

Dalam pergolakan politik terbaharu itu, kerajaan Imran dikatakan bakal digulingkan dengan ramalan 172 undian daripada 342 kerusi tidak memihak kepadanya.

Imran menjawat jawatan Perdana Menteri pada tahun 2018 berikrar dalam perjuangan menentang rasuah dan membangunkan semula ekonomi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here