Kes Bella: Rina Harun nafi dakwaan KPWKM lepas tangan

0
18
Datuk Seri Rina Harun

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan bersikap lepas tangan terhadap kes pengabaian dan penganiayaan remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, antara tindakan yang diambil adalah melucutkan hak penjagaan anak angkat kepada Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, tahun lalu.

Beliau berkata, selain itu pihaknya turut menyita rumah jagaan berkenaan serta mengeluarkan kompaun pada Julai tahun lalu.

“Kita sudah memberi bimbingan emosi kerana dia (Bella) agak trauma, kita perlu pastikan dia lebih sihat dari segi keadaan fizikal dan emosi.

“Kita juga memperketatkan undang-undang untuk orang yang layak dan sesuai (dalam hak penjagaan kanak-kanak) ini. Beberapa pindaan sudah dilaksanakan supaya perkara seperti ini tak berlaku lagi,” katanya memetik laporan Bernama.

Menjawab pertanyaan wartawan mengapa beliau mengambil sikap berdiam diri dalam isu Bella, Rina berkata, tindakan itu adalah demi menjaga kesejahteraan dan keselamatan remaja berkenaan.

“Ada perkara yang (dibuat) sebelum ini tidak dimaklumkan, tetapi (ia) tidak bermakna kita tak buat apa-apa atau ambil apa-apa tindakan.

“Adik Bella perlu kita selamatkan dan kesejahteraan dia yang penting, di samping kita mahu pelaku dikenakan tindakan yang setimpal,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here