‘Khemah Besar’ Amanah bukan untuk parti pengkhianat

0
18
Mohamad Sabu

CYBERJAYA – Pendekatan ‘Khemah Besar’ yang diperkenalkan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai langkah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-15) tidak akan melibatkan ‘parti-parti pengkhianat’.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, konsep penyatuan dan kerjasama itu sama sekali tidak akan menerima parti-parti yang berada di dalam kerajaan sama ada UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau PAS.

Beliau juga menyifatkan parti-parti yang pernah melompat untuk bersama dengan PPBM dan Perikatan Nasional (PN) itu adalah golongan pengkhianat.

“Tidak mungkin PH akan bekerjasama dengan pengkhianat yang jelas telah mengkhianati amanah dan mandat rakyat.

“Perlu ditegaskan bahawa golongan pengkhianat adalah mereka yang telah melompat untuk bersama PPBM dan PN atas tawaran yang dibuat ketika itu.

“Tidak wajar kita menyamakan kumpulan yang telah melompat dengan kumpulan yang tidak melompat,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya petang ini.

Bagaimanapun, Mohamad Sabu berkata, dalam mencapai kejayaan melalui PRU-15, pihaknya tidak menafikan kepentingan penyatuan parti-parti di dalam blok pembangkang.

Bagaimanapun katanya, konsep Khemah Besar yang diperkenalkan Amanah memerlukan kepada satu pemahaman dan satu bentuk perbincangan.

“Sepertimana tidak wajar kita anggap PKR sebagai parti pengkhianat atas sebab Timbalan Presidennya dan belasan ahli parlimennya melompat.

“Begitu juga adalah tidak wajar kita namakan PEJUANG, WARISAN dan MUDA sebagai pengkhianat atas sebab pengkhianatan Muhyiddin dan PPBM,” katanya.

Katanya, sebagai parti yang ingin menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat, Amanah sentiasa berusaha untuk memperbanyakkan ‘kawan’ dalam perjuangan melawan Barisan Nasional dan PN.

“Bagi yang membuat keputusan bahawa PRU ke 15 ini tidak akan dimenangi, usaha sebegini sememangnya tidak perlu. Usaha untuk kalah adalah jauh lebih mudah daripada berjuang untuk menang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here