Konsep Keluarga Malaysia selaras wasatiyyah dukungan Universiti Al-Azhar

0
8
ISMAIL SABRI

CYBERJAYA – Konsep Keluarga Malaysia yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum adalah selaras dengan konsep Al-Wasatiyyah atau kesederhanaan yang didukung lepasan Universiti Al-Azhar, Mesir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, konsep itu yang juga selari dengan seruan al-Quran bagi melahirkan masyarakat yang terbuka dan bertoleransi antara satu sama lain, terbukti berjaya mendepani cabaran pemikiran ekstremisme dan keganasan yang mampu meruntuhkan negara serta merugikan umat Islam.

“Di Malaysia, lepasan Al-Azhar telah membentuk suatu jaringan dan hubungan yang berterusan antara universiti dan alumninya dan mereka diamanahkan untuk membawa risalah Al-Azhar ‘Ummatan Wasata’ atau ‘Wasatiyyah’ dalam melaksanakan tugas mulia selaku ulama.

“Al-Azhar Asy-Syarif juga menjadi sebuah institusi agama yang berjaya melahirkan ribuan alim ulama, dengan membawa pemikiran Wasatiyyah Islam dalam menangani pemikiran ekstremisme dan fanatisme di seluruh dunia.

“Semoga Allah S.W.T memelihara Al-Azhar Asy-Syarif dan para pendukung manhajnya,” kata Perdana Menteri ketika berucap menerusi perutusan dalam talian sempena Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia, hari ini.

Kata Perdana Menteri lagi, lepasan Universiti Al-Azhar di Malaysia turut memainkan peranan penting dalam agenda dakwah Islamiah, pemerkasaan Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dan juga sebagai jaringan strategik kepada kerajaan bagi kepentingan agama, negara dan ummah.

Beliau menambah, para ulama Al-Azhar terkenal kerana memiliki pelbagai ilmu, namun sifat atau pendirian yang dipegang tetap sederhana dan moderat, selain mereka menjadi tumpuan serta rujukan dalam bidang ilmu agama dan diiktiraf sebagai bertaraf ‘alami dan muktabar.

“Kewujudan institusi keilmuan Islam di dunia khususnya di Malaysia, adalah hasil kurikulum pendidikan yang diasaskan oleh manhaj Universiti Al-Azhar terdahulu yang jauh ke hadapan dalam arena pendidikan atau Tarbiyyah Islamiah.

“Manhaj Al-Azhar terbukti dapat mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada beberapa fahaman seperti Khawarij, Muktazilah, Syiah, Salafi, Zahiriyyah, Batiniyyah, Takfiriyyah, liberalisme, pluralisme dan beberapa fahaman yang muncul pada zaman moden ini,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here