Kriteria pemilihan jemaah tahun ini berdasarkan giliran tunai haji

0
56
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Keutamaan mengerjakan haji pada tahun ini akan diberikan kepada jemaah yang giliran tunai haji mereka jatuh pada 2020, diikuti giliran pada 2021 dan seterusnya 2022.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, ia berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan.

Katanya, rayuan haji melalui platform dalam talian iaitu aplikasi Tabung Haji Online (THiJARI) juga telah dibuka dengan keutamaan diberikan kepada rayuan mahram.

Justeru, TH menasihatkan bakal jemaah supaya bersedia dengan dokumen-dokumen berkaitan termasuk sijil vaksinasi Covid-19 yang lengkap dan pasport antarabangsa.

“TH akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa sekiranya ada maklumat lanjut dari kerajaan Arab Saudi yang perlu dikongsikan dengan bakal jemaah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu hari ini, Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mengumumkan seramai 14,306 jemaah haji dari Malaysia dibenarkan untuk mengerjakan haji tahun ini iaitu 45 peratus daripada kuota biasa yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Jumlah kuota itu menyaksikan penyusutan bilangan jemaah haji Malaysia berbanding 31,600 jemaah sebelum ini.

Sementara itu, Amrin berkata pengumuman itu merupakan satu berita baik untuk TH dan bakal jemaah haji dari Malaysia.

“Kami bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi dan yakin penilaian serta penelitian semua aspek telah dibuat bagi memastikan keselamatan para jemaah haji yang datang dari segenap pelosok dunia terjamin,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here