Kritikan terhadap kehakiman kebelakangan ini agak keterlaluan – Tengku Maimun

0
11
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kritikan awam termasuk tuduhan tidak berasas terhadap badan kehakiman sejak kebelakangan ini disifatkan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebagai agak keterlaluan.

Beliau berkata, walaupun badan kehakiman atau hakim tertakluk kepada kritikan awam dan memikul tanggungjawab memberikan perkhidmatan terbaik terutama dalam kes berprofil tinggi, orang awam tidak boleh bebas mengkritik demi kepentingan sendiri.

“Apabila wujud keperluan untuk mengkritik badan kehakiman, perkara ini hendaklah dibuat secara membina dan tidak menjejaskan kebebasan serta keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Tengku Mainun berucap pada majlis angkat sumpah 17 pesuruhjaya kehakiman yang disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Tengku Maimun berkata, mana-mana pihak tidak sepatutnya menyemai benih-benih keraguan dalam kalangan orang ramai berhubung integriti badan kehakiman atau hakim.

Beliau berkata, hakim tertakluk kepada penelitian yang rapi dan sebab itulah mereka menulis penghakiman agar ia boleh dibaca, dianalisis, dibincang serta dibahaskan.

Katanya badan kehakiman adalah barisan pertahanan terakhir dalam demokrasi berperlembagaan dan tidak boleh ada syak wasangka bahawa ia telah ditakluki.

Tengku Maimun berkata, hakim tidak seharusnya berputus asa dan berasa tawar hati apabila melaksanakan tugas mereka mengikut prinsip undang-undang sambil menambah bahawa sistem keadilan dan kebebasan badan kehakiman tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.

“Walau apapun, kita mesti kekal kuat dan tabah serta teguh dalam mendukung Kedaulatan Undang-Undang. Meskipun kita tidak boleh mengawal kata-kata atau tindakan sesetengah pihak yang nekad untuk mencemari atau memusnahkan imej badan kehakiman, kita masih berhak memastikan bahawa tiada siapa pun yang mencampuri urusan kita.

Dalam kata lain, tiada siapa boleh campur tangan dalam badan kehakiman jika kita para hakim tidak membenarkan perkara itu berlaku,” katanya.

Baru-Baru ini, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mendengar kes Datuk Seri Najib Razak dan mensabitkan bekas Perdana Menteri itu dengan pertuduhan bherkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, telah membuat laporan polis berhubung artikel berita mendakwa beliau telah disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 21 April lepas memaklumkan bahawa Mohd Nazlan menafikan dakwaan palsu, tidak berasas dan berniat jahat itu yang bertujuan menjejaskan kerdibiliti beliau sebagai seorang hakim serta mengganggu pentadbiran keadilan jenayah dan badan kehakiman.

Badan kehakiman turut membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud konspirasi antara Tengku Maimun dan pemimpin politik untuk mempercepat perbicaraan serta hukuman terhadap Najib dan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here