Lebih 700 PATI lari daripada tahanan depot imigresen

0
105
Tangkap layar sebuah video yang menunjukkan ratusan PATI melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau

BANDAR BAHARU – Penduduk di sekitar daerah ini gempar apabila ratusan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Depot Imigresen Sementara Relau di sini, dilaporkan melarikan diri dalam kejadian awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi tadi kira-kira 700 kumpulan PATI itu dipercayai warga Bangladesh, Indonesia dan etnik Rohingya dilihat keluar beramai-ramai dari depot terbabit oleh penduduk tempatan.

Memetik laporan Berita Harian, difahamkan, semua tahanan itu di bawah seliaan Jabatan Imigresen Pulau Pinang, namun ditempatkan di depot tahanan sementara tersebut sebelum urusan penghantaran pulang dilakukan.

Berikutan itu, operasi menahan semula semua tahanan terpaksa dilakukan JIM yang turut mendapat bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu, Kedah dan IPD Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Sehingga kini, dimaklumkan lebih separuh tahanan yang terlepas berjaya ditahan semula dengan operasi mengesan PATI yang masih bebas masih dilakukan pihak berkuasa.

Sidang media berhubung kejadian itu dijangka akan dibuat Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud pagi ini.

Terdahulu tular beberapa video menunjukkan sekumpulan warga asing melarikan diri dari depoh tahanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here